Saturday, September 17, 2011

Mari Bertaubat

Segala syukur dan puji-pujian kepada Allah tuhan semesta alam. Tuhan yang berhak disembah, dipuji dan dicintai. Kami berlindung kepada Allah dari segala macam kejahatan dan tipu daya syaitan. Dari segala dosa dan noda yang telah kami lakukan. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhamad S.A.W adalah pesuruh Allah. Sesungguhnya barang siapa yang diberikan oleh Allah petunjuk, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikannya petunjuk.

Taubat adalah wasilah untuk kembali kepada Allah setelah melakukan segala macam maksiat, dosa dan noda kepadaNya. Selama kita hidup dibumi ini, entah berapa banyak dosa yang telah kita lakukan. Kita hidup tanpa mengetahui hakikat akan dosa yang bergelumang tanpa rasa penyesalan dan ketakutan. Maka dengan taubat, ia adalah sebaik-baik jalan untuk mendekatkan diri dengan Ar-Rahman bagi membebaskan diri daripada dosa yang telah kita lakukan.

Penyebab yang besar impaknya yang boleh membantu kita untuk bertaubat adalah perasaan untuk meninggalkan alam kehidupan ini. Kematian pasti tidak dapat dielakkan. Apabila kita berfikir tentang kematian, pasti akan teringat setiap apa yang dilakukan ketika hidup. Kebaikan dan keburukan, dosa dan pahala dan bermacam perkara bermain di minda. Allah s.w.t telah berfirman :

“Dan apakah kami tidak memanjangkan umurmu dalam masa yang cukup untuk berfikir bagi orang-orang yang mahu berfikir dan (apakah tidak) datang kepada kamu pemberi peringatan?” (Surah Faathir:37)

Nabi Muhammad s.a.w pernah menyebut kepada ahli keluarga baginda, bapa saudara, ibu saudara dan anak perempuan baginda, bahawa tiada siapa yang dapat menolak bahaya yang datang kepada mereka dan tiada siapa yang dapat memberikan manfaat bagi mereka sekalipun yang melakukannya adalah baginda Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya hanya dengan bertaubat yang ikhlas kepada Allah akan menyelamatkan kita daripada seksa neraka dan segala macam dosa dan kemungkaran.

Pernah diriwayatkan bahawa suatu masa dahulu, ada seorang lelaki dari Bani Israil yang taat kepada Allah s.w.t selama 40 tahun, suatu tempoh yang sangat lama. Namun dia kemudian menderhaka kepada Allah selam 40 tahun pula. Suatu hari ketika melihat dirinya di cermin, dia melihat ada uban pada janggutnya seraya berkata “Ya Tuhanku, aku telah mentaatiMu selama 40 tahun dan kemudian aku derhaka kepadaMu selama 40 tahun, maka apakah Engkau akan menerimaku kembali Ya Allah?.” Maka dikatakan kepadanya : “Engkau telah taat kepada Tuhanmu, maka Dia menerimamu, dan ketika engkau derhaka, maka Dia memberi tangguh kepadamu dan jika engkau inginkembali kepadaNya, Dia tetap akan menerimamu.”

Hidup kita didunia hanya sekali. Jika kita mensia-siakan peluang hidup didunia ini maka kita telahpun rugi segala-galanya. Kita telah mensia-siakan kedua-dua dunia dan akhirat. Disebabkan itulah pintu taubat selalu terbuka untuk kita. Ia adalah suatu anugerah yang tidak ternilai dari Allah. Suatu jalan untuk mengampunkan segala dosa-dosa yang menggunung.

Maha suci Allah yang telah memberikan kemaafan meskipun kita terus menerus bersalah. Biarpun setiap hari dipenuhi dengan dosa dan maksiat, Dia tetap memaafkan. Nikmatnya tetap melimpah ruah kepada orang yang membuat maksiat kepadaNya. SifatNya yang Maha Agung lagi Maha Kaya tidak akan pernah mencegah pemberianNya kepada orang yang bersalah. Meskipun kita membuat maksiat, kita masih lagi diberikan nikmat untuk bernafas, mata kita masih boleh melihat, telinga yang masih mendengar dan segala nikmat yang mustahil dapat dikira dan dibilang. Fikirlah wahai saudaraku.

Ya Allah ya Tuhanku
Sesungguhnya para raja
Memerdekakan hamba-hamba mereka
Yang telah beruban
Dan memberikan pembebasan yang baik
Dan Engkau wahai Rabbku
Jelas lebih tinggi kemurahanMu dari itu
Kini kami telah beruban dalam menghambakan diri
Maka sudikanlah kiranya Engkau
Memerdekakan kami dari azab dan nerakaMu.

Amin ya Rabbal ‘alamin.

0 comments:

Post a Comment